Thursday, April 7, 2011

TAHAP KEPATUHAN TERHADAP PERINTAH MAHKAMAH

TANGGUNGJAWAB MEMBERI NAFKAH DAN PENGABAIANNYA

Fatimah Binti Sulaiman
Centre for Islamic Thought and Understanding (CITU)
Universiti Teknologi MARA Terengganu

PENDAHULUAN
Semua manusia yang baligh dan berakal mempunyai tanggung jawab yang perlu dilaksanakan  selama mereka hidup di atas muka bumi ini samada lelaki atau perempuan. Tanggung jawab yang merupakan amanah dari Allah perlu dilaksanakan mengikut kehendak Zat yang menetapkannya.Kecuaian atau pengingkaran dari melaksanakan amanah atau perlaksanaan tidak mengikut kehendakNya  merupakan suatu kedurhakaan. Manusia dengan apa sahaja kedudukan samada pemimpin, rakyat, pegawai, pekerja, ibu bapa, anak,guru, pelajar dan sebagainya akan bertanggung jawab di hadapan Allah terhadap segala amalan mereka samada  baik atau buruk. Semua amalan akan ditanya dan diadili sendiri oleh Allah dan ketika itu tidak ada peluang bagi manusia menafikannya.

Maksud hadith Rasulullah saw, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamu....cari sambungan hadith ini…” (Hadith riwayat Muslim).

Suami akan bertanggung jawab terhadap amanah sebagai ketua keluarga, begitu juga isteri sebagai pengurus rumah tangga. Sekiranya di dunia mereka sering tuduh menuduh, salah menyalahkan antara satu sama lain, adakah masih ada ruang di hadapan Allah berbuat begitu?

Tanggung jawab Suami
Cari tanggung jawab suami secara umum…dan akhir tekannkan dalam soal nafkah…
Syarak telah menetapkan tanggung jawab mencari nafkah dan menyara keluarga terletak di atas bahu kaum lelaki. Ini sesuai dengan sifat lelaki yang mempunyai binaan badan yang teguh, tenaga yang kuat dan gagah (al-Nisa’: 34; al-Isra’: 26) manakala perempuan yang bersifat lemah lembut, kekuatan yang kurang, berjiwa halus dan penyayang sesuai dengan tanggung jawab mengurus rumah tangga; sebagai ibu dan sebagai isteri. Allah menetapkan tanggungjawab tersebut bertepatan dengan keadaan fitrah masing-masing. Sekalipun secara umum semua orang memahami setiap tanggung jawab yang diwajibkan ke atas bahu mereka akan ditanya dan dihitung oleh Allah tetapi pengabaian terhadap tanggungjawab tetap berlaku termasuklah soal nafkah.






Pengertian Nafkah
Nafkah dari segi bahasa bermakna ‘mengeluarkan’ atau ‘membinasakan.’ Perkataan ‘infaq’ tidak digunakan melainkan berbelanja dalam hal-hal kebaikan. Nafkah dari segi istilah bermaksud ‘ setiap apa yang diperlukan oleh manusia terdiri dari makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal ’ . Keperluan ini dinamakan nafkah sesuai dengan makna dari segi bahasa di mana ia akan binasa atau hilang selepas menggunakannya. (Abul Khairi al-Latifi: 286). Nafkah yang menjadi persoalan kajian kami hanya terbatas kepada nafkah isteri dan anak-anak selepas berlaku perceraian dan tidak termasuk nafkah sebelum berlaku perceraian. Nafkah kepada pihak lain seperti kepada ibu bapa, saudara dan pembantu rumah tidak dibincangkan kerana ia di luar skop kajian. Nafkah kepada isteri pula hanya dalam aspek nafkah zahir dan tidak termasuk nafkah batin. Nafkah kepada isteri selepas berlaku perceraian meliputi nafkah iddah dan bayaran mut’ah.

Jenis Nafkah
Nafkah zahir
Nafkah batin

Media telah memaparkan pelbagai peristiwa yang menggambarkan pengabaian lelaki terhadap nafkah isteri dan anak-anak. Terdapat suami yang malas bekerja, memaksa isteri keluar mencari nafkah hatta ada suami yang sanggup melacurkan isteri, menyempitkan perbelanjaan, tidak mengambil tahu atau buat-buat tidak tahu soal perbelanjaan rumah tangga terutamanya bagi mereka yang mempunyai isteri yang bekerja (Harian Metro, 5 Julai 2005). Pengabaian nafkah lebih ketara apabila mereka berpoligami atau selepas berlaku perceraian (http://www.opensubscriber.com/message/islah, dicapai pada 10 Jan 2008). Mereka tetap berdegil tidak mahu menunaikannya sekali pun dengan arahan mahkamah. Perempuan terpaksa turun naik mahkamah untuk mendapatkan hak mereka dan anak-anak (Harian Metro, 5 Julai 2005).

Mahkamah adalah satu institusi yang bertanggung jawab membicarakan kes dan menjatuhkan hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang ada. Building in which law cases can be heard and judged (Longman Dictionary of Contemporary English: 236). Mahkamah dalam kajian ini adalah Mahkamah Syariah yang meliputi Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan yang ada di Negeri Terengganu.

Tanggung jawab Isteri
Cari tanggung jawab isteri secara umum…tekankan soal taat kepada suami…gugur nafkah kerana tidak taat….

Dosa Pengabaian Nafkah
Pengabaian nafkah merupakan satu dosa kerana nafkah adalah perkara yang wajib ditunaikan. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud, ”Besarlah dosa manusia yang mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya”. Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud ”Cukup berdosalah orang yang menahan nafkah ke atas orang yang ditanggungnya” – (riwayat Muslim). Maksud hadith lain,“Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan para wanita kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan kepercayaan Allah dan hak bagi kamu mencampuri mereka dengan kalimah Allah dan diwajibkan atas kamu (suami) memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara sebaik-baiknya iaitu yang layak” (riwayat Muslim). Hadith riwayat Muslim - dari Jabir ra. sabda Rasulullah saw, “Maka takutilah Allah dalam perkara yang berkaitan dengan kaum wanita kerana sesungguhnya kamu telah mengambil mereka (sebagai isteri) dengan amanah Allah dan telah meminta agar kemaluan mereka dihalalkan untuk kamu dengan kalimah Allah, mereka bertanggung jawab terhadap kamu untuk tidak membenarkan sesiapa yang kamu tidak sukai masuk ke dalam rumah kamu, maka jika mereka melakukan demikian, hendaklah kamu pukul mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Kamu bertanggungjawab atas mereka untuk memberi makan dan pakaian kepada mereka secara makruf dan sesungguhnya aku telah meninggalkan kepada kamu sesuatu yang mana jika kamu berpegang dengannya kamu tidak akan sesat” (iaitu kitab Allah).

Nafkah dan ganjaran pahala


Pengabaian oleh suami – kes di Negeri Terengganu
Ringkaskan-ambil mana yg berkaitan dengan pengabaian sahaja-data2 tidak perlu ambik semua…ok?

Tahap kepatuhan yang mahu diukur dalam kajian ini ialah tahap kepatuhan pihak penghutang kehakiman terhadap perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah agar membayar nafkah kepada pihak yang berada di bawah tanggungannya selepas berlaku perceraian dalam tempoh tahun kajian iaitu di antara tahun 1999 hingga tahun 2004. Kepatuhan disini meliputi kepatuhan terhadap perintah mahkamah ketika penyelesaian perceraian dan juga perintah ketika membuat keputusan terhadap permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan oleh pihak yang hak mereka diabaikan. Kebiasaannya permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan dibuat oleh isteri/ibu apabila suami/bapa tidak mematuhi perintah mahkamah supaya memberi nafkah atau apa-apa hak mereka atau hak anak-anak. Tahap kepatuhan penghutang penghakiman terhadap perintah mahkamah Tinggi dan Rendah diukur dengan penganalisaan terhadap statistik kadar perceraian, kes nafkah dan permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Kamalruazmi Ismail (2003) terhadap Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Perintah Mahkamah Syariah Negeri Terengganu dari tahun 1998 hingga tahun 2003, kes-kes yang berkaitan dengan pengingkaran perintah mahkamah dalam kes nafkah berlaku berterusan sekali pun pelbagai usaha telah dibuat untuk membenterasnya. Hal yang sama ditegaskan oleh Yang Arif Tuan Haji Sheikh Ahmad bin Ismail Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu. (Temubual penyelidik dengan Y.A. Tuan Haji Shaikh Ahmad bin Ismail di kamar Hakim JKSTR pada 14 Mei 2006 jam 3.00 ptg). (Lihat kes Fatimah binti Razali, 1988).



Statistik kes mal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syari’ah Negeri Terengganu bagi tahun 1998 hingga 2001 mendedahkan kes berkaitan pengabaian nafkah yang difailkan di mahkamah bertambah setiap tahun. Bagi tahun 1998 terdapat 64 kes; tahun 1999, 96 kes; tahun 2000, 151 kes manakala tahun 2001 terdapat 769 kes. Menurut En Kamalruazmi tidak semua pihak-pihak yang terbabit yang hak mereka telah diabaikan oleh suami atau bapa tampil memfailkan permohonan. Ini bermakna kadar sebenar tentu lebih tinggi dari kadar yang ada di dalam statistik di atas (Kamalruazmi Ismail: 116). Kadar pengabaian nafkah yang tinggi bermakna tahap kepatuhan terhadap perintah mahkamah adalah rendah sebaliknya kalau kadar pengabaian nafkah rendah, ini bermakna tahap kepatuhan terhadap perintah mahkamah adalah tinggi. Oleh kerana isu kepatuhan perintah mahkamah timbul ekoran dari masalah perceraian dan kes nafkah, maka untuk melihat tahap kepatuhan, kajian kami bermula dengan dua persoalan ini. Kebiasaannya kadar perceraian yang tinggi akan terdedah kepada kadar pengabaian nafkah yang juga tinggi. Walaubagaimana pun keadaan sebaliknya mungkin boleh berlaku di mana kadar perceraian tinggi tetapi tahap pengabaian adalah rendah.

Di Negeri Terengganu, undang-undang utama yang diguna pakai berhubung dengan nafkah ialah dalam Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (1985) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syari’ah Terengganu (2001). Peruntukan-peruntukan di dalam enakmen ini secara umum bertepatan dengan apa yang ditetapkan oleh syarak. Kewajipan memberi nafkah kepada isteri dan bekas isteri selagi mereka tidak melakukan nusyuz dan perkahwinan berterusan ditetapkan di dalam seksyen 58. Perceraian menyebabkan nafkah terhenti. Walaubagaimana pun harus difahami apabila berlaku perceraian bukan bermakna nafkah isteri terputus serta merta. Perempuan masih berhak mendapat nafkah dalam tempoh iddah bagi perkahwinan talak raj’i selagi tidak berlaku nusyuz (T. Muhammad Hasbi Ash-Shiddieqy: 269; Mahmood Zuhdi: 181). Hal ini juga dinyatakan dalam seksyen 58(1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (1985). Bagi Syafi’iyyah, Malikiyyah dan segolongan ulama’ lain perempuan talak bain tidak berhak mendapat nafkah makan minum dan lain-lain ketika dalam iddah tetapi berhak mendapat hak tempat tinggal. Nafkah sepenuhnya perlu diberi sekiranya perempuan itu hamil sehinggalah dia melahirkan anak (Hj Idris Ahmad: 429-430; T. Muhammad Hasbi Ash-Shiddieqy: 269; Al-Talaq: 6; Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (1985) seksyen 58(1)).

Berpandukan seksyen 58(1), perintah nafkah ‘iddah kepada bekas isteri akan dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah setelah tuntutan difailkan oleh bekas isteri atau pun dibuat melalui persetujuan bersama antara pihak-pihak terlibat sewaktu proses perceraian di mahkamah. Selain dari nafkah ketika iddah, perempuan yang diceraikan juga berhak mendapat bayaran mut’ah. Tidaklah ada halangan atas kamu jika kamu mentalaq perempuan-perempuan selama kamu tidak menyentuh mereka atau sebelum kamu tentukan kepada mereka mahar yang difardhukan dan berilah kepada mereka bekal (mut’ah ) iaitu bagi orang yang berkelapangan sekadar kemampuannya dan bagi orang yang kesempitan menurut kadarnya pula iaitu bekalan sepatutnya. Adalah menjadi kewajipan bagi orang yang ingin membuat kebajikan (Surah al-Baqarah: 236). Mengikut Imam Syafi’i, mut’ah diwajibkan ke atas suami sekiranya perceraian itu dari kehendak suami dan bukan dari permintaan isteri atau tebus talak (Mahmood Zuhdi: 176-178). Peruntukan mut’ah wujud di dalam semua Enakmen Keluarga Islam, kecuali Sabah dan Serawak. Oleh kerana bagi dua negeri ini tidak ada peruntukan, mahkamah boleh memerintahkan pembayaran dibuat mengikut peruntukan yang ada di dalam syarak (Mahmood Zuhdi: 176-178).

Mahkamah mempunyai kuasa boleh bila-bila masa dari semasa ke semasa mengubah atau membatalkan sesuatu perintah nafkah yang masih berkuatkuasa samaada bercagar atau tidak atas permohonan orang yang berhak menerima nafkah atau orang yang kena membayar nafkah, sekiranya mahkamah berpuashati bahawa perintah yang telah dibuat sebelum itu telah diasaskan atas sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan material telah berlaku (seksyen 65) Dalam seksyen 66, mahkamah juga mempunyai kuasa mengubah apa-apa syarat di dalam perjanjian antara suami dan isteri tentang nafkah sekiranya mahkamah mendapati telah berlaku perubahan dari segi material pihak-pihak yang terlibat. Ini bermakna, mahkamah boleh menambah atau mengurangkan kadar yang telah ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua belah pihak setelah permohonan dibuat dari salah satu pihak yang terlibat. Dalam menentukan kadar nafkah yang perlu dibayar, seksyen 60 menyatakan mahkamah boleh mengasaskan pentaksirannya mengikut kemampuan pihak suami dan juga keperluan kedua-dua pihak tanpa melihat kepada kedudukan atau pendapatan isteri. Seksyen 58(1) memperuntukkan sekiranya pengabaian nafkah berlaku, isteri boleh memfailkan permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di mahkamah. Suami wajib mematuhi perintah tersebut dan sebarang keingkaran boleh diambil tindakan melalui proses penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah di mahkamah.

Kewajipan memberi nafkah kepada anak-anak diperuntukkan di bawah seksyen 71 dan 72 enakmen yang sama. Bapa wajib menyediakan nafkah kepada anak-anak; lelaki atau perempuan sama ada tinggal bersamanya atau tidak yang meliputi tempat tinggal, makanan, pakaian, perubatan dan pelajaran mengikut kemampuan dan taraf hidupnya. Bagi anak yang tidak mempunyai bapa, kewajipan memberi nafkah berpindah kepada datuk iaitu bapa kepada bapa kemudian orang-orang selepasnya. Seksyen ini juga memperuntukkan permohonan untuk mendapatkan nafkah anak terhadap bapa boleh dibuat oleh sesiapa sahaja yang anak-anak itu tersebut berada di bawah jagaannya. Kebiasaannnya permohonan tersebut dibuat oleh ibu. Kemungkiran mematuhi perintah mahkamah boleh di dikenakan hukuman sebagai menghina mahkamah (seksyen 73(2)).

Seperti mana dalam kes nafkah isteri, kegagalan memberi nafkah kepada anak merupakan hutang yang wajib dibayar dan sekiranya bapa meninggal, ia boleh diambil dari pesaka (seksyen 68). Tanggung jawab memberi nafkah kepada anak akan berakhir apabila anak mencapai umur 18 tahun bagi anak lelaki dan berkahwin bagi anak perempuan. Walaubagaimanapun tempoh bagi anak lelaki boleh dilanjutkan oleh mahkamah atas permohonan apabila mahkamah memikirkan menasabah seperti kanak-kanak tidak boleh mencari pendapatan sendiri kerana melanjutkan pelajaran atau mengikuti latihan (seksyen 78). Berhubung dengan kewajipan mematuhi perintah mahkamah, selain dari terdapat di dalam Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu (1985), juga ditetapkan di dalam Enakmen Tata Cara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) (2001), Seksyen 147(1).

Tanggung jawab seorang hakim dalam sesuatu perbicaraan tidak selesai dengan mengeluarkan hukuman, tanpa diikuti dengan perintah penguatkuasaan dan pelaksanaan. Perintah pelaksanaan dan penguatkuasaan adalah merupakan sebahagian daripada hukuman itu sendiri. Seorang hakim setelah menjatuhkan hukuman, hendaklah memerintahkan pihak yang ke atasnya hukuman dikenakan supaya melaksanakan perintah yang dikeluarkan. Perintah penguatkuasaan dan pelaksanaan sekali lagi boleh dikeluarkan oleh mahkamah tersebut apabila permohonan dibuat oleh pihak yang berkepentingan ekoran pengabaian terhadap perintah hakim yang telah dikeluarkan.

Bailif adalah orang yang bertanggung jawab mempastikan penghukuman yang dikeluarkan dipatuhi (seksyen 130, Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu, 1985 dan seksyen 176 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syari’ah Terengganu, 2001). Sekiranya perintah pembayaran nafkah dengan sengaja tidak dipatuhi, mahkamah berhak mengambil beberapa langkah mengarahkan supaya jumlah yang kena dibayar itu didapatkan mengikut cara yang diperuntukan oleh undang-undang berserta dengan denda-denda setelah permohonan penguatkuasaan dan pelaksanaan dibuat oleh pihak yang berkepentingan. Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara ke atas orang yang sengaja cuai mematuhi perintah nafkah. Mengikut Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kemaman merangkap Mahkamah Rendah Syariah Dungun, Yang Arif Kamaruazmi, hukuman penjara adalah hukuman yang paling berkesan. Tertakluk kepada seksyen 148(1) Enakmen Tata Cara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) (2001), suatu penghakiman atau perintah bagi pembayaran wang selain penghakiman atau perintah bagi pembayaran wang ke dalam mahkamah, bolehlah dikuatkuasakan melalui cara-cara; perintah penyitaan dan penjualan atau prosiding hiwalah atau perintah pengkomitan. Apabila mahkamah menerima sesuatu permohonan di bawah seksyen 176 Enakmen Tata Cara Mal Mahkamah Syariah Terengganu (2001), mahkamah akan mengeluarkan saman terhadap penghutang penghakiman dalam tempoh sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh pemeriksaan (seksyen 177(1) dan (2), Enakmen Tata Cara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu), 2001). Jika penghutang penghakiman tidak hadir pada hari yang ditetapkan untuk pendengaran saman, mahkamah boleh memerintahkan supaya dia ditangkap dan dibawa ke mahkamah untuk diperiksa atau terus membuat keputusan tanpa kehadirannya. (seksyen 178(1)) dan seksyen 121 Enakmen Tata Cara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu), 2001).

Berdasarkan data dari JAKIM yang diperolehi melalui Laman Informasi Islam, Terengganu tidak termasuk negeri yang menduduki ranking atas dari segi kadar perceraian yang tinggi di Malaysia. Ranking dibuat berdasarkan kadar perceraian dengan dibuat bandingan dengan negeri-negeri lain. Pada 1999, 2000, 2004 dan 2005 Terengganu menduduki tempat ketujuh, tahun 2001 tempat kelima dan tahun 2002 dan 2003 tempat ke lapan (http://www.islam.gov.my/informasi, dicapai pada 10 Jan 2008).
Walaubagaimanapun, kadarnya dari tahun ke tahun semakin meningkat. Tahun 2000 1741 kes; tahun 2001, 1972 kes dan tahun 2002, 2162 kes. Kadar bagi tahun 2003 ialah 1760 iaitu sehingga bulan Jun sahaja.

Jadual 1: Kes Perceraian

Perkara
2000
2001
2002
2003 (sehinggaJun )
Perceraian
1741
1972
2162
1760





Kalau diperhatikan kepada semua jenis kes yang termasuk dalam himpunan kes perceraian, kadarnya naik dari tahun ke tahun. (Tahun 2003 kadar bagi semua bentuk perceraian adalah sehingga bulan Jun sahaja). Oleh itu kadar bagi tahun ini tidak boleh di ambilkira dalam analisa. Kes permohonan cerai, tahun 2000, 616 kes; tahun 2001, 713 kes; tahun 2002 meningkat kepada 745 kes (tahun 2003, 614 kes). Kes pengesahan lafaz cerai, tahun 2000, 596 kes, naik kepada 613 kes pada tahun 2001, kemudian naik lagi kepada 632 kes pada tahun 2002 (tahun 2003, 542 kes). Kes fasakh tahun 2000 terdapat 40 kes; tahun 2001, 75 kes; tahun 2002, 143 kes. Tahun 2003, kurang satu kes sahaja dari tahun sebelumnya (142 kes) (kadar ini sehingga bulan Jun sahaja). Seperti mana kes-kes di atas kes, ta’liq juga bertambah setiap tahun. Tahun 2000, 489 kes; tahun 2001, 571 kes, tahun 2002 meningkat kepada 642 kes (tahun 2003, 480 kes). Jumlah keseluruhan bagi semua kes yang dikira termasuk dalam kes-kes cerai ialah tahun 2000 1741; tahun 2001 1972 kes; tahun 2002, 2162 kes dan tahun 2003, 1760 kes (sehingga Jun sahaja). Kadar ini jelas menunjukkan ia bertambah setiap tahun.

Jadual 2: Kes-kes Dalam Himpunan Cerai tahun 2000 hingga Jun 2003

Jenis
2000

2001

  2002

2003 sehingga Jun shj


Daftar
Selesai
Daftar
Selesai
Daftar
Selesai
Daftar
Selesai

Perm Cerai
616
430
713
489
745
434
614
343
Lafaz Cerai
596
519
613
497
632
411
524
300
Fasakh
40
16
75
41
143
61
142
49
Ta’liq
489
285
  571
282
642
348
480
166
JUMLAH
1741
1250
1972
1309
2162
1254
1760
858










Kes berkaitan nafkah yang meliputi nafkah anak dan isteri dan kes mutaah dari tahun 2000 hingga tahun 2004 bertambah setiap tahun kecuali tahun 2004 turun sedikit berbanding dengan tahun 2003. Kes nafkah isteri/anak tahun 2000 ialah 96, kemudian meningkat kepada 151 untuk tahun 2001 dan meningkat lagi secara mendadak pada tahun 2003 kepada 769 kes dan tahun 2004 turun sedikit iaitu 755. Secara kasar, ini menunjukkan golongan lelaki yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak meningkat setiap tahun.

Jadual 3: Kes nafkah anak/isteri dan Mutaah


Perkara
2000
2001
2002
2003
Nafkah Anak/Isteri
96
151
769
755
Mutaah
37
269
285
270










Berikut adalah kes rayuan yang dibuat oleh pihak yang hak mereka diabaikan berikutan ketidakpatuhan pihak lelaki terhadap perintah mahkamah.


Jadual 4: Kes Tuntutan Nafkah (Kes-kes berkaitan Tahap Kepatuhan, 2000-2004)

Perkara
2000
2001
2002
2003
2004
Tuntutan Mutaah
58
58
33
14
59
Hina Perintah Mahkamah
24 

26
18
0
0
Tuntutan Edah    

0
18
38
5
0
Penguatkuasaan nafkah
0
5
19
159
141
Pelaksanaan perintah mahkamah

0
7
5
48
157
TuntutanPenghutangKehakiman
0
0
2
0
31
TuntutanNafkahTambahanAnak
11 19 6
19
6
0
0
JUMLAH
93
133
121
226
388







Semua kes-kes di atas adalah kes yang berada dalam kumpulan Kes Tahap Kepatuhann. Kes-kes di atas muncul di mahkamah ekoran pihak lelaki tidak menunaikan tanggung jawab memberi hak nafkah atau hak-hak tertentu kepada perempuan dan anak-anak atau dengan kata lain kerana mereka tidak mematuhi perintah mahkamah. Jumlah keseluruhan dari tujuh jenis kes pengabaian nafkah bagi tahun 2000 ialah 93 kemudian jumlah ini meningkat secara mendadak bagi tahun 2001 kepada 133, kemudian menurun sedikit kepada 121 bagi tahun 2002. Penurunan tidak kekal lama apabila tahun berikutnya (2003) naik semula iaitu 226 kes dan terus naik lagi pada tahun 2004 menjadi 388 kes. Dari suasana ini dapat disimpulkan kadar pematuhan terhadap perintah mahkamah TIDAK BAIK kerana makin menurun setiap tahun atau pengingkaran sentiasa meningkat.

KESIMPULAN

Dari analisa di atas dapat dibuat kesimpulan bahawa
1. Kadar perceraian semakin meningkat dari tahun ke tahun
2. Golongan lelaki yang tidak memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak meningkat setiap tahun.
3. Kadar pematuhan terhadap perintah mahkamah TIDAK BAIK kerana semakin menurun setiap tahun atau pengingkaran semakin meningkat.

Apabila kadar perceraian, kadar pengabaian nafkah dan pengingkaran terhadap perintah mahkamah dalam kes nafkah sentiasa meningkat setiap tahun atau dengan kata lain, tahap kepatuhan terhadap perintah mahkamah TIDAK BAIK ini bermakna usaha-usaha yang telah dibuat oleh pihak kerajaan, pihak mahkamah dan pihak-pihak lain dalam menyelesaikan persoalan perceraian dan pengabaian nafkah masih belum berjaya dan usaha lain harus dirancang. Penyelidik-penyelidik mungkin boleh membantu pihak berkenaan dengan membuat kajian lanjutan kepada kajian kami khusus dalam soal cara mengatasi masaalah ini.


RUJUKAN

Al-Quran, Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an . Kuala Lumpur: JAKIM.

Imam al-Bukhari, Sahih al-Bukhari. (-------------). Terjemahan Hadis. Singapore: Darul Fajar Publishing House. 4 jilid.

Al-Imam Muslim, Sahih Muslim, Terjemahan Hadith. Singapore : Darul Fajar Publishing House,4 jilid.

Abul Khairi al-Latifi. (2000). Fiqh Perkahwinan Menurut Mazhab al-Imam al-Syafi’i. Kuala Lumpur: Al-Hidayah.

Borang Penilaian Keberkesanan Latihan UiTMT

Enakmen Tata Cara Mal Mahkamah Syariah Terengganu 2001.

Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985.

Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syari’ah Terengganu 2001

Harian Metro: 5 Julai 2005.

http://www.opensubscriber.com/message/islah.

Idris Ahmad S. H. (1983). Fiqh Syafii. Jilid 2, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Kes Fatimah binti Razali. 1988

T. Muhammad Hasbi Ash-Shiddieqy. (1970). Hukum-Hukum Fiqh Islam. Cetakan 4. Jakarta: Bulan Bintang

Kamus Dewan, edisi ketiga.

Kamalruazmi Ismail. (2003). Penguatkuasaan dan Perlaksanaan Perintah Mahkamah Syariah Negeri Terengganu, Satu Kajian Dari Aspek Keberkesanan. Tesis master yang tidak diterbitkan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia.

Longman Dictionary of Contemporary English. New Edition. London: Longman

Mahmood Zuhdi Hj Abdul Majid. (1989). Undang-Undang Keluarga Islam, Konsep dan Perlaksanannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Karya Abazie.

T. Muhammad Hasbi Ash-Shiddieqy. (1970). Hukum-Hukum Fiqh Islam. Jakarta: Bulan Bintang.

Temubual penyelidik dengan Y.A. Tuan Haji Shaikh Ahmad bin Ismail di kamar Hakim JKSTR pada 14 Mei 2006 jam 3.00 ptg)
CINTA ALLAH CINTA RASUL0 comments